Bahas asrama penuh
EMPAT sekolah bakal bersaing bagi merebut gelaran juara kategori bahasa Melayu dan bahasa Inggeris pada Pertandingan Bahas Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Piala Perdana Menteri 2010 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, esok.
Sekolah Alam Shah, Putrajaya dan Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh bertanding bagi kategori Bahasa Inggeris. Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak dan Sekolah Dato' Abdul Razak Seremban (Bahasa Melayu).
Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kluster, Kementerian Pelajaran, Ashah Samah, berkata pertandingan berprestij itu menjadi kejayaan SBP dalam melahirkan kelompok pemimpin berkaliber.
Katanya, pencapaian itu selaras dengan usaha ke arah pembinaan modal insan mapan menerusi pelaksanaan program kokurikulum termasuk menerusi aktiviti berbahas.
"Kita berbesar hati apabila pertandingan kali ini mendapat tajaan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) dengan peruntukan bernilai RM166,000.
"Pertandingan menjalani proses penjenamaan semula yang dikenali sebagai Pertandingan Bahasa SBP Piala Perdana Menteri Bersama Bank Rakyat," katanya.
Beliau berkata, pihaknya masih mengekalkan format pertandingan sedia ada iaitu secara ala parlimen dan menggunakan konsep 'World School Debate'.
Katanya, juara akan membawa pulang piala pusingan sumbangan mantan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Dr Mahathir Mohamad selain wang tunai RM1,000 setiap seorang, sijil dan piala iringan.
"Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka hadir dan menyampaikan hadiah kepada pemenang," katanya.
Pertandingan Bahas Piala Perdana Menteri yang diadakan sejak 1974 terbuka kepada semua SBP selain pasukan jemputan iaitu Maktab Tentera Diraja, Sungai Besi, Selangor - Berita Harian