Bintang Bhg 2
Sambungan Cerpen Yang Memenangi Hadiah Pakej Umrah Tajaan Pak Pin
Sheik Said telah meninggalkan STAR di tahun 1970 dan telah menyambung tali siratulrahim dengan aku semenjak itu lagi. Kerana keputusan MCE yang hebat dan kejaguhan beliau dalam sukan, beliau ditawarkan tempat ke Leeds University, England. Tanpa biasiswa kerajaan tak mungkin beliau melanjutkan pelajaran ke England.
Kebanyakan kami dari desa dan sumber keewangan terhad. Lainlah pelajar seperti Mahmud Boss. Dia orang berada. Sebab itu agaknya mampu bermurah hati sentiasa. Beliau mempunyai sumber kewangan yang banyak dan sentiasa berkongsi. Beliau sangat bertimbang rasa, pemurah sehinggakan masih lagi membantu dan bersedekah pada sahabat-sahabat walau pun sudah keluar sekolah. Bila Bruce Lee mahu "hitch hike" untuk mengerjakan haji, beliau menawarkan untuk membawa Bruce Lee untuk tujuan itu. Malang sekali tidak kesampaian. Beliau meninggalkan kami beberapa tahun lepas.
Ketika bersekolah, sebulan mungkin 2 atau 3 kali beliau mendapat surat berdaftar. Nama-nama penerima surat berdaftar, yang pastinya berkiriman wang, akan diumum ketika makan. Bila diumum nama beliau dalam dewan makan, merata penjuru dewan bersorak kegembiraan. Bila waktu rehat, beliau membeli berbakul makanan seperti nasi lemak, mee goreng, beehoon dan kueh mueh untuk ramai-ramai merasa. Tidak kira siapa, boleh menumpangnya . Ramailah gembira. Mengetuk meja makan dengan garpu dan camca, bila nama beliau diumum memdapat surat berdaftar yang berisi duit belanja. Beliau tidak perlu meminta biasiswa. Beliau dari keluarga sudah berada. Jika biasiswa direbut juga tidak adillah pada pelajar miskin yang sangat layak dari desa tetapi tidak ditaja..
Persahabatan kami juga memang bernilai lima bintang. Orang seperti Mahmud Boss sanggup berbelanja makanan berbakul-bakul. Cik Oon sedia bersedekah sebahagian makanan beliau dan dari wang biasiswanya untuk aku memeriksa dan membuat cermin mata. Pakaian, masing-masing boleh ambil dan guna sahaja. Tidak ada siapa akan marah dan sanggup berkongsi sama ada berjenama atau tidak.
Ketika cuti sekolah, ramai yamg tidak pulang. Ramai mengikut kawan-kawan balik kampung. Kadang-kadang berpindah-randah dari satu rumah ke satu rumah di lain daerah beramai-ramai. Ibu bapa tidak mengeluh. Miskin atau kaya dilayan seperti anak-anak mereka.
Bayangkan kebanyakan sahabat-sahabat masih kekal dalam kenangan walau sudah 40 tahun kami meninggalkan sekolah.. Bruce Lee, Ahmad Senang, Abdullah Kelam, Mohd Rahmat, Cik Oon, Ibnu Man, Mahmud Boss, Ken Ciang, Mat Hansome dan Mohd Adoll, adalah diantara yang selalu aku kenangkan. Selepas sekolah kami masih berhubung. Yang menghilang aku jadikan sebagai tugasanku mencari.
Ramai dari kami ada nama "nickname". Nickname yang baik dan banyak juga yang negatif. Bruce Lee sangat gembira dengan gelarannya. Ramai pula tidak menerima dengan gelaran dikenakan pada mereka. Yang seperti Mat Rugged, Mat Jambu, Mat Bangger, Bodger, Collect dan macam-macam lagi mengeluh sehingga ke hari tua. Entah kenapa "nickname negative" pula suka diberi terhadap sahabat-sahabat kami. Apabila anak aku yang belajar di sebuah sekolah asrama swasta memberi tahu nama panggilan beliau sebagai "Roar" sempena Singa Utara yang mengaum, aku kesal dengan geleran-gelaran negative terhadap sahabat-sahabatku. Sepatutnya nama diberi sebagai sumber inspirasi dan motivasi. Bila anakku ini mendengar sebutan nama mereka, "awatlah nama macam tu pak, tanya dia"?
Nama "bodger" untuk yang kuat study. Apabila kita takut untuk dapat gelaran bodger, tak bersemangatlah kita untuk kuat study. Ini melemahkan "grade" pelajar-pelajar. Yang alim pula dipanggil Mat "bangger". Benarlah ramai yang tidak solat, takut dengan gelaran bangger agaknya. Tapi tidak pula takut pada Tuhan.
Mohd Rahmat. Juga kawan akrabku. Dia ini Alhamdulillah hebat orangnya. Di tingkatan khas beliau telah mencipta rekod. Apabila kami gagal satu mata pelajaran, guru besar akan merotan sekali. Beliau ini gagal semua mata pelajaran. Aku yakin rekod ini mungkin kekal hingga ke hari ini. Mungkin juga beliau pemegang rekod bersama. Ada seorang senior setahun lebih tua yang sama hebat juga. Ketika beliau mengambil kertas jawapan Agama Islam, muka beliau berubah. "Awat?", tanya Ustadz. "Kosong pun markah juga"! Sambung Ustadz.
Ketika di tingkatan satu beliau mingikuti aku pulang menghadiri kenduri perkahwinan kakakku. Apabila selesai akad nikah, " pengantin bolehlah membatal wudhu", kata Tok Kadi. Mohd Rahmat membisik padaku, " macam mana nak batalkan wudhu, kentut atau makan, batal ka?"
Sudah tiga orang anakku aku nikahkan. Mohd Rahmat juga hadir kenduri anak keduaku. Tok Kadi juga berkata, " selesai sudah. Bolehlah pengantin membatalkan wudhu". "La, sepatutnya kita sentiasa berwudhu. Apa hal nak batal-batalkan". Kata Mohd Rahmat yang sudah banyak belajar agama! " Bersentuh suami isteri tidak membatalkan wudhu", tambah beliau padaku.
Beliau juga hebat dalam arena sukan. Mewakili sekolah dalam permainan hoki, olahraga dan ragbi. Semua permainan yang beliau ceburi mendapat anugerah johan sekolah-sekolah negeri Perak.
Pihak sekolah sangat prihatin tentang pembentukan dan pembangunan pisikal ahli sukan sekolah. Setiap pemain dikumpulkan disatu penjuru dewan makan dan dihidangkan makanan dan minuman yang lebih berkasiat. Mohd Rahmat ini setahun penuh disajikan makanan dan minuman istimewa dan beliau selalu dijejaki sahabat yang lain yang bukan ahli sukan untk menumpang makan sajian berkasiat ini.
Susu adalah salah satu minuman yang disajikan. Aku kurang minat minum susu. Cair teramat. Tetapi bila dikenang kembali, "awatlah tak telan sahaja, bukannya ubat"? Kerana kurang kasiat jadilah aku olahragawan yang terkecil di sekolah.
Fidel Castro bekas Presiden Cuba mengarahkan penduduk miskin diberikan lembu susu untuk diternak. Lembu yang kecil dipilih supaya lembu ini hanya perlu diberi makan sedikit sahaja dan tidak perlu berbelanja besar terhadap makananya. Maklum saja, lembu perlu makan antara 5 hingga 10 % dari berat badannya. Negara Cuba telah mengeluarkan ramai johan olimpik dan dunia dalam macam-macam bidang. Bukan saja sukan tetapi ahli sains dan pakar perubatan yang hebat dapat di ketengahkan.
Berbalik pada cerita Mohd Rahmat, sahabatku ini memang serba boleh. Seorang "all rounder". Setiap hari Ahad, kami perlu membersihkan asrama dan mengemas katil sebaik mungkin. Peralatan peribadi mesti ada dan disusun dihujung katil untuk pemeriksaan. Kesalahan tidak mempunyai peralatan seperti sabun mandi, berus dan ubat gigi serta sudu dan garpu mungkin di hantar ke kelas tahanan. Bila ditahan, tidak dapatlah kami keluar kebandar untuk menonton "cheap matinee" movie Hindustan atau gambar X-rated.
Peralatan Mohd Rahmat ini sentiasa baru dan bersais "family" atau "large".
Susunan untuk pemeriksaan beliau hebat. Seperti sabun mandi yang belum dipakai. Sudu dan garpu yang masih berkilat. Yang anihnya ramai pula teman sebilik beliau yang mempunyai peralatan yang sama "standard". Rupanya kantin sekolah selalu menjadi mangsa mereka.
Itu dulu punya cerita tentang Mohd Rahmat.
Baru-baru ini ketika satu perjumpaan batch kami, Mohd Rahmat merungut, "teruk betul Tabung Haji ni. Ada ke patut bila aku mendaftar untuk mengerjakan haji, tahun 2070 baru giliran aku. Aku akan berumur 74 tahun. Sudah kerepot lah".
Cik Oon orang Penang. Ini orang bijak pandai. "Top" student ketika peperiksaan tingkatan tiga. Rajin membaca. Bila yang lain sibuk bermain di padang, beliau berkemungkinan terlelap di katil sambil memegang buku cerita. Rajin juga menonton TV. Sanggup ke Bandar, ke Taman Seenivasagam, Ipoh, untuk menonton program TV kegemaran beliau.
Ramai juga di antara pelajar yang kaki bangku. Tidak minat langsung bersukan. Ketika kami berpeluh di padang, ada antara mereka ini sudah siap mandi dan siap juga memakai baju melayu menunggu loceng makan malam dibunyikan. Mereka dengan sepasang sudu dan garpu akan duduk beristirehat di bangku besi panjang dekat bangunan sekolah. Mereka juga ada geng mereka.
Ada seorang itu sangat kacak, menyikat rambut rapi walau pun rambut "golliwog" tercacak. Katanya rambut dia rapi dengan bantuan minyak rambut cap " tancho". Minyak ini pilihan ramai untuk merapikan rambut sementara minyak " bond" untuk menambah kelebatan rambut, misai dan bulu dada. Minyak Tancho menjadi pilihan terutama di hari perhimpunan. Pemeriksaan rambut kerap diadakan. Rambut berminyak Tancho mungkin menyelamatkan.
Minyak "bond" juga menjadi kegemaran ramai. Iklan Bond patut berbunyi "berbulu dan bermisailah dengan bond". Ramai bersungguh-sungguh memelihara misai. Apabila ingin menonton filem X-rated, ramai sangka pengawal panggung hanya membenarkan si misai menonton filem X". Ini menggelikan hati tetapi benar. Ramai yang bermuka "baby face" akan gagal memasuki panggung walau pun sudah bertiket. Pengawal akan memerhatikan muka yang nampak sudah berumur, dan bermisai lebat sudah pasti membantu. Ramailah membeli dan menggunakan "bond" untuk menumbuhkan misai dan mengharap melepasi kawalan pengawal panggung untuk menonton filem-X ketika zaman aku.
Kami jarang diziarahi. Cik Oon sentiasa dilawati ibu beliau. Bila kami mendengar motosikal merentasi padang di tepi hostel kami, di pagi Ahad, sudah pasti itu ibu beliau membawa makanan sedap untuk kami tumpang sekaki. Kami akan tersenyum-senyum menghadirkan diri dan adalah habuan nanti.
Ibnu Rahman juga dipanggil Ibnu Man. Ibnu Man ini pula sangat "artistic". Lakaran beliau menjadi rebutan terutama lakaran "sportscar". Nakal dan selalu sedikit malang. Selalu kena tangkap. Kalau kena tangkap beramai-ramai, beliau tidak terlepas dari hukuman pengetua. Bila beliau tertangkap berseorangan, besar kemungkinan beliau terlepas. Pengetua dari satu kampung dengan beliau.
Beliau selalu alah pada aksi kejar mengejar. Beliau lemah dalam larian. Ada se kawan angsa selalu menyudu di takungan air dekat dewan makan. Apabila kami dan Ibnu Man melalui di situ, angsa terganggu dan akan sentiasa mengejar Ibnu Man. Heran, idak pula kami. Kata Ibnu Man, "akuu aje".
Mungkin gaya larian Ibnu Man yang sangat unik itu menyerlah. Apabila beliau dikejar pengawas atau guru, di siang atau di malam hari, sudah pasti mudah untuk beliau dikenali. Beliau selalulah tertangkap oleh pengawas, warden atau pengetua. Walau pun di malam hari yang gelap gelita tanpa sebiji bintang dan bulan. Walau pun juga malam yang tidak ada letrik.
Rezeki beliau sangat murah. Lima belas tahun lepas, beliau berulang alik ke Arab Saudi kerana menjadi Arkitek satu projek hotel di Mekah. Kerap kali jugalah beliau mengerjakan umrah. Kini beliau diusik Haji, Haji, Haji Ibnu Man. Banyak kali haji.
Mat Handsome, seorang yang masyaAllah, tegap tubuh badah dan sangat hebat dalam sukan. Beliau pernah tinggal bersebelahan katil dengan aku. Kami berkongsi almari. Almari ketika itu diperbuat dari besi dan mungkin setinggi enam kaki. Almari ini diletak ditengah-tangah antara katil kami berdua. Beliau ini seorang pengawas dan selalulah pulang lewat ke bilik kerana tugasan. Tugas beliau merangkumi mengawal disiplin, membuat rondaan ke asrama-asrama dan sebagainya.
Aku pula kerana keletihan berlatih sukan selalunya tidur awal. Satu malam aku sungguh letih selepas satu perlawanan ragbi. Aku mudah terlelap. Aku terasa macam bermimpi yang ada bunyi dentuman dan almari besi 6 kaki itu sedang jatuh keatasku. Aku melompat bangun dari katil menyelamatkan diri. Rupanya ianya bukan mimpi. Sahabat aku telah tertendang almari dan memang nasib aku disimpang Allah dari kecelakaan. Almari yang ditendang beliau jatuh di atas katilku. Setelah mengangkat almari tegak semula aku diberitau yang beliau mimpi bertumbuk dengan beberapa orang pelajar junior malam itu. Mereka ini mencabar beliau. Beliau bersama seorang lagi pengawas telah menyambut cabaran.
Cerita katil ini menjadi rahsia kami berdua. Beberapa tahun lepas seorang lagi sahabatku Abdullah Kelam menceritakan kepadaku tentang sakit dagu beliau. Beliau selalu terasa sakit dan kerap berulang berjumpa doktor. Cerita beliau, dagu itu dipukul oleh jiran bersebelahan katil aku itulah. Rupanya tendangan almari itu sebenarnya tendangan "replay", dan telah juga menghinggapi dagu Abdullah Kelam di malam itu. Sampai mengigau. Kesannya masih terasa walau pun selepas persaraan Abdullah Kelam. Mat Handsome pula masih tidak tahu yang aku baru-baru ini mengetahui kejadian malam itu dari "sparring partner" beliau.
Kini Mat Handsome sudah Haji. Beliau segera mengerjakan haji beberapa tahun lepas setelah terselamat dari satu kemalangan ngeri. Beliau kata "itu last warning".
Mohd Adoll. Aku dan beberapa kawan sedang berbual di depan bilik kami. Adoll berlari pantas menuju ke arah kami. Rupanya dia tertekan dan terus memasuki tandas. Aku sangkakan dia sakit perut. Bebarapa minit kemudian Wak dari dewan makan tiba di depan hostel kami. Dia mencari seseorang. Kami tak tahu punca dan tanpa diduga keluar seekor ayam dari tandas. Wak rupanya mengejar kawan kami Adoll kerana mencuri ayam beliau. Sudah beberapa ekor ayam telah hilang rupanya dan tidak heranlah selama ini mee segera masakan kawan kami ini enak belaka. Mee segera berperisa ayam tulen. Sebenarnya ada juga masakan mee yang tidak menjadi. Beberapa orang kawanku dengan Adoll melompat pagar ke Flat Polis bersebelahan STAR. Ada orang tanam ubi kayu. Apa lagi, ubi kayu juga menjadi mangsa. Mereka telah merebus ubi kayu itu bersama mee segera. Lamalah menunggu. Tak masak-mask juga. Ubi masih keras. Mee sudah hncur lerai. Rupanya ubi gajah yang mereka curi hanya digunakan untuk membuat gam dan kanji (starch).
Aku juga terkenang satu ketika beberapa sahabat sibuk mencari pisau. Satu asrama diselongkar. Hanya sebilah pisau "blade cap nacet" ditemui. Bila diterangkan, rupanya mereka sudah dapat menangkap seekor anak kambing kepunyaan pekerja sekolah. Anak kambing ini menceroboh meragut rumput padang ragbi dan berjaya ditangkap. Anak kambing mencuri ragut runput perlu dihukum. Jika adalah pisau yang sempurna, sudah pasti kami beramai-ramai berpesta panggang kambing yang dihukum mati malam itu.
Sahabatku Adoll ini juga besar badannya. Seorang juara sukanlah. Beliau hebat dalam bolasepak, olahraga dan ragbi. Dengan badan yang besar dan kuat bersukan, beliau sememangnya kuat makan. Hari yang hidangannya ayam, pastinya pinggan beliau licin tidak tertinggal walau sedikit pun tulang. Habis dikunyah. Semua ditelan. Maklum sajalah kami sedang membesar dan makanan terhad.
Kami kadang-kadang singgah di Sick Bay tempat pelajar berehat jika sakit yang ringan. Di situ banyak makanan yang terlebih. Orang sakit tidak berselera. Kami akan makanlah apa yang tertinggal. Pembantu Sick Bay seorang India. Aku boleh berbahasa Tamil. Maka murahlah rezeki aku bila melewati Sick Bay ini. Raju, nama pembantu itu, akan sentiasa memberi aku lebihan makanan dan berserta pula dengan air kordial yang sejuk dari peti sejuk. Hati mana atau hati siapa yang tidak gembira. Lebih lagi hati aku dan Adoll lah. Adoll akan menyanyi dalam sick bay menghiburkan pesakit-pesakit. Beliau memang juara menyanyi. Beliau penyanyi kugiran batch aku. Ketika kami sama-sama tinggal di Butterworth, Seberang Prai sebagai jiran beliau adalah bilal di surau Taman Wira . Kami berjiran sehingga aku pindah ke Kuala Lumpur semula. Kemerduan azan beliau kedengaran beberapa tahun sahaja. Beliau meninggal umur masih muda..
Hati kami yang kenyang memanglah gembira dan mungkin hati ayam sahaja yang tidak.
Hati ayam memang kegemaran ramai dan aku bahagialah dapat sedekah hati ayam ini dari Raju sentiasa. Hendak pula hati ayam sangat terhad. Orang-orang tua sanggup berbohong mengeluar fatwa yang hati ayam tidak elok dimakan. Nanti takut jadi itulah, inilah dan macam-macam pantang larangnya. Yang sebenarnya hati ayam itu terhad dan sedap pula. Jika tak mengeluar fatwa bagitu nanti mungkin anak-anak yang ramai akan berebut bergaduh meminta dan kempunanlah siibu dan sibapa.
Di STAR juga ada pesanan tentang pantang larang. Ketika di dorm 4, blok tingkatan khas, pengawas bilik kami Abang Mat Darius ada pantang dan larang. Salah satu masalah pelajar jagaan beliau ialah suka kencing malam. Yang penakut akan melepas kencing atas tilam. Abang Mat Darius akan mengeluarkan bermacam-macam pantang larang. Fatwa pun ada. Banyaknya fatwa dan pantang larang bersabit hal kencing malam.
Abang Mat meninggalkan kami selepas setahun kemudian. Aku kekal berhubung dengan beliau dan salah satu surat awal kiriman aku adalah seperti berikut.
Ramadhan 1970
Abu FaridzmanTingkatan Satu BSekolah Tuanku AbdulRahman,Ipoh, Perak.Saudara Mat DariusDiploma PerhutananInstitut Teknologi MARAJalan OthmanPetaling JayaSelangor.Abang Mat Darius,
Apa kabar.? Diucapkan ribuan terima kasih kerana mengirim surat pada saya. Ramai geng dorm 4 gembira mendapat berita dari Abang Mat. Terutama yang tinggal sebilik di dorm 3, rumah biru, sekarang ini. Ken Ciang, Miow dan Haji sebilik dengan saya. Tentu Abang Mat masih ingatkan mereka bertiga terutama Ken Ciang.
Baru-baru ini kami ingat Ken Ciang buat perangai lagi. Ketika kami bangun untuk bersahur, dia kami gerakkan. Dalam kami sibuk bersiap untuk kedewan makan untuk bersahur, dia masih menarik selimut. Selepas gagal beberapa kali, kami menarik selimut beliau dengan paksa. Marah benar beliau pada kami. Rupa-rupanya dia telah membasahi tilam. Mimpi kencing! Petang kemudian beliau mengaku rupanya beliau malam itu mimpi akhir baligh. Beliau dilahirkan dalam bulan Januari dan baligh lebih awal dari kebanyakan kami.
Kursus yang Abang Mat ambil itu berapa tahun? Agaknya tentu susah kursus perhutanan macam ini. Kalau nak buat praktikal kena masuk hutanlah agaknya.
Saya pun ada cita-cita nak melanjutkan pelajaran ke ITM. Saya suka berniaga. Umur 40 tahun nak pencen sebagai millionaire. Saya dapat tahu dari bacaan saya, ramai ahli perniagaan berjaya menjadi millionaire.
Raya puasa ini saya akan pulang kekampung selama seminggu. Abang Mat singgahlah kerumah sebelum pulang keSungai Tiang. Boleh jumpa dengan Abang Mid, abang ipar saya tu. Dia pun ada tanya tentang Abang Mat. Dia masih ingat lagi tentang pertolongan Abang Mat di hari pertama kami berdua sampai keSTAR.
Oh ya, terima kasih atas kiriman T-Shirt Intekma Lion itu. Saya akan simpan elok-elok takut geng lain pinjam. Mereka besar-besar. Kalau mereka pakai T-shirt sais S saya, tentu akan kembang jadi "L" pula dan tak selesalah untuk saya pakai.
Pasukan ragbi Intekma Lion kuat ke? Dalam pertandingan apa yang Intekma Lion ambil bahagian? Saya pun nak main ragbi bersungguh-sungguh. Tahun lepas saya hanya jadi pemain simpanan pasukan remove STAR ketika bertemu SDAR di Tanjung Malim. Perlawanan se awal umur ini bagus untuk mengenalkan sukan ragbi dan membentuk minat.
Sekian sahaja buat waktu ini. Ken Ciang, Miow dan Haji juga kirim salam dan tulislah lagi.
Wasallam
Yang benar
Abufaridzman