Search

Follow Us

Manifesto Annuar

TAN Sri Annuar Musa ada tiga agenda penting untuk direalisasikan sekiranya dipilih menjawat jawatan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Beliau adalah antara enam calon yang bertanding jawatan No. 2 pada kongres ke-47 badan induk bola sepak negara itu 31 Julai ini.

"Sekiranya saya terpilih, saya ada tiga agenda utama untuk diberi tumpuan," kata Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) itu semalam.

"Terdapat beberapa perkara lagi yang perlu diperbaiki secepat mungkin dalam FAM, terutamanya perkara yang membabitkan tiga agenda tersebut," katanya.

Annuar berkata, sebenarnya bukanlah menjadi hasrat utama beliau untuk bersaing atau mencabar mana-mana calon dengan mengutarakan idea tersebut, sebaliknya beliau percaya setiap individu mempunyai kelebihan tersendiri yang mampu disumbangkan kepada FAM.

"Kalau FAM lemah kita juga akan turut terjejas secara langsung. Kalau FAM tidak mempunyai hubungan baik dengan badan gabungan, tiada perancangan yang baik, tiada dana dan sebagainya ia akan memberi kesan negatif kepada kita juga akhirnya.

"Kita tidak boleh hanya duduk sahaja, sebaliknya perlu bersedia untuk menawarkan diri bagi membantu FAM," katanya.

Beliau menyindir sikap sesetengah pihak yang cenderung mengkritik struktur pentadbiran FAM, namun tidak mahu bertanggungjawab memperbetulkan keadaan tersebut.

"FAM dan ahli gabungan saling memerlukan antara satu sama lain dalam memperjuangkan pembangunan bola sepak negara," katanya.

Annuar merupakan salah seorang daripada enam calon yang tersenarai bertanding untuk merebut jawatan Timbalan Presiden FAM bagi penggal 2010-2015.

Lima lagi calon lain untuk jawatan tersebut ialah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Datuk Seri Redzuan Tan Sri Sheikh Ahmad (penyandang), Datuk Che Mat Jusoh, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Abdul Mokhtar Ahmad.– Bernama

Nota: Tan Sri Annuar adalah dari Batch 74, Green House