UTeM IPTA pertama tawar program PhD industri

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengumumkan insentif sebanyak RM 50 ribu bagi membiayai golongan profesional yang melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Kejuruteraan melalui program Ijazah Kedoktoran Falsafah (MyPhD).
Perkara tersebut diumumkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam ucaptamanya ketika menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) di antara Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dengan pihak industri di Putrajaya baru-baru ini.
Katanya, menerusi program Doktor Kejuruteraan, pihak industri akan berganding bahu dengan universiti bagi menjalankan penyelidikan yang bakal memberi manfaat antara kedua-dua belah pihak.
Jelas Khaled lagi, penawaran Doktor Kejuruteraan oleh UTeM adalah sejajar dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan pekerja berdaya saing yang memiliki tahap pendidikan yang tinggi ke arah status negara maju.
"Usaha yang ditunjukkan oleh UTeM dalam menjalinkan hubungan erat dengan pihak industri harus diberi pujian kerana ianya secara tidak langsung akan menarik minat pelabur asing untuk meningkatkan kapasiti pelaburan di negara ini kerana terdapatnya tenaga profesional yang pakar dalam bidang yang khusus," kata Khaled.
Beliau berkata lagi, "Perkembangan ini juga menunjukkan pihak industri memberi kepercayaan kepada UTeM dalam melaksanakan program usahasama dan perkongsian kepakaran secara strategik," jelas Khaled.
Sementara itu, Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Yusoff Hassan yang ditemui berkata, pihaknya sedang giat menambah penyertaan golongan profesional industri bagi menjayakan hasrat kerajaan tersebut.
Katanya lagi, hubungan erat dengan pihak industri merupakan kekuatan UTeM dalam memastikan kejayaan program ini. Beliau juga menyeru pihak industri untuk menggunakan peluang ini dengan sebaiknya bagi meningkatkan produktiviti dan memantapkan modal insan dalam organisasi.
Ahmad Yusoff kemudiannya menandatangani MoA bersama enam syarikat iaitu Composites Technology Research Malaysia Sdn. Bhd. (CTRM), Infineon Technologies (Kulim), Infineon Technologies (Melaka), Solid Precision Engineering, National Semiconductor (Melaka) serta Rubber Leisure Products Sdn. Bhd.
Nota: Ahmad Yusoff adalah dari Batch 74. Gambar: Ahmad Yusoff ketika menyerahkan cenderahati kepada Khaled Nordin