Ariffin Mamat luah perasaan melalui puisi

SETIAP hari Ahad, Ariffin Mamat yang ketika itu masih lagi di bangku sekolah pasti akan ke pekan Kok Lanas, Kelantan untuk membaca surat khabar di warung kopi. Jika mendapat keizinan daripada tauke kedai, dia akan membawa pulang surat akhbar tersebut untuk menjadi koleksinya.
Dahulu juga dia sanggup berbasikal ke pekan terdekat menuju ke rumah penduduk kampung yang memiliki televisyen semata-mata untuk menonton filem-filem Allahyarham P. Ramlee.
Sebaik tamat darjah enam, Ariffin telah pun menghabiskan novel Ranjau Sepanjang Jalan karya sasterawan terkenal Shahnon Ahmad.
Sejak kecil, Ariffin sudah mendapat pendedahan terhadap pelbagai seni sastera sama ada cerpen atau puisi. Malah, ketika saat-saat memikat isterinya, kata-kata puitis menjadi modal lelaki itu yang kini bermastautin di Jeddah, Arab Saudi.
Ketika ditemui pada majlis pelancaran buku berbentuk puisi hasil karyanya sendiri, Masih di sini dan Echo of Silence, di Kuala Lumpur baru-baru ini, Ariffin menyifatkan dirinya seorang yang 'mesra wanita'.
"Saya membesar dengan persekitaran ramai wanita. Mereka terdiri daripada ibu dan adik-beradik saya. Jadi banyak sajak saya ditujukan kepada mereka.
"Ada sajak yang memujuk isteri selepas dia penat menguruskan rumah tangga selain sajak menyatakan kerinduan anak di perantauan terhadap ibunya," terang Ariffin yang bertugas sebagai pakar sumber manusia di sebuah firma di Jeddah.
Berkelana di tempat orang selama bertahun-tahun juga memberi impak kepada Ariffin apabila rasa kesunyian dan kerinduan serta perasaan berdikari itu diterjemah olehnya ke dalam bait-bait puisi.
Sajak bertajuk Sendiri yang dideklamasi olehnya pada majlis pelancaran buku itu adalah perasaannya ketika mula-mula merantau dan ia ditujukan kepada semua anak perantau lain.
Kesemua puisi yang dikarangnya dari tahun 2002 hingga 2006 telah dibukukan dalam sebuah buku puisi dwibahasa. Ujarnya, puisi dalam bahasa Inggeris sebanyak 40 buah, manakala bahasa Melayu pula sebanyak 65 buah.
Puisi dalam bahasa Inggeris bukan hasil terjemahan daripada bahasa Melayu. Kedua-duanya adalah karya yang berlainan. Ia dibukukan sekali kerana lebih menguntungkan pengguna dan mudah dibawa.
Ujar lelaki yang menggemari karya-karya seniman Usman Awang dalam bidang sajak itu, dua masa yang dia gemar menulis puisi iaitu pada waktu malam dan pagi.
"Tetapi, saya jarang menulis pada waktu pagi kerana perlu bekerja," ujarnya ketika sesi autograf.
Bukunya yang berharga RM45 itu boleh didapati melalui pembelian secara dalam talian dengan melayari blognya, www.ariffinmamat.net, atau e-mel pesanan kepada This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. .
Setakat ini, ujar Ariffin, jualan bukunya agak baik, malah ia telah mendapat pesanan daripada rakyat Malaysia yang tinggal di Asia Barat seperti Dubai, Qatar dan Arab Saudi.
"Saya juga dalam perancangan untuk menerbitkan sebuah antologi cerpen yang dijangka diterbitkan pada bulan Julai atau Ogos ini," katanya lagi.
Turut hadir pada majlis pelancaran buku tersebut ialah Pengerusi Media Prima, Datuk Johan Jaafar dan Penasihat Kehormat Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM), Datuk Zuraidah Atan - Kosmo
Pak Pin adalah dari Batch 75, Red House. Tulisan beliau kat STAROBA.MY di sini dan blog beliau di sini