STAR Sekolah Berprestasi Tinggi

Tahun 2010 apabila Tan Sri Muhyiddin Yasin mengumumkan 20 sekolah yang terpilih untuk dinobatkan sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi, STAR tidak termasuk di dalam senarai tersebut. Pengumuman tersebut telah memberikan satu impak yang besar kepada seluruh warga STAR. Mereka terkejut kerana nama sekolah-sekolah yang diumumkan adalah sekolah-sekolah yang kita pandang hanya sebelah mata sahaja pada era 70' an dan 80'an. Nama-nama seperti SMSAH Jitra, Alam Shah dan SMS Perlis pada ketika itu adalah sekolah yang berada di gred bawah STAR ketika itu. Malahan bila berjumpa dengan bekas pelajar-pelajar daripada sekolah tersebut di universiti mereka akan merasa rendah diri apabila diberitahu 'aku budak STAR, hang sekolah mana?' Waktu itu STAR bersaing dengan MCKK dan TKC manakala SDAR dan STF adalah setanding dengan STAR.
Tetapi bila STAR tidak tersenarai dan sekolah yang kita pandang rendah waktu ketika dahulu pula tersenarai ia amat cukup memberi tamparan kepada warga STAR. Di Parlimen di mana kebanyakkan ahli-ahli parlimen adalah daripada kalangan bekas pelajar-pelajar SBP, mereka bertanyakan kepada old boys STAR seperti Dato Awang Adek dan Dato Hamzah Zainudin 'kenapa sekolah engkau tak dapat. Apa sudah jadi' diikuti dengan gelak ketawa. Ia merupakan satu sindiran yang amat tajam bagi old boys STAR bukan sahaja di Parlimen malah di dunia korporat di mana old boys sentiasa bangga memperkenalkan diri sebagai 'I'm from STAR' kepada rakan-rakan sekerja mereka.
Hari ini Tan Sri Mahyuddin telah pun mengumumkan sebanyak 30 sekolah lagi akan dinobatkan sebagai SBT dan pengumuman rasmi akan dibuat di Sarawak pada 17hb Februari ini. Adakah STAR akan tertinggal lagi pada kali ini? Secara tidak rasmi, penulis telah pun tahu jawapannya.Ok atau tak ok. OK, STAR adalah salah satu daripada 30 sekolah yang akan diumumkan. STAR berada di ranking ke 2 daripada 30 nama sekolah yang bakal diumumkan kelak. Oleh kerana pengumuman rasmi masih belum dibuat, kita anggapkan sahaja berita ini cuma berita angin. Saja reka-reka cerita nak bagi telinga kita geli. Kerana penulis khuatir nanti ada pula makhluk yang pergi nak komplen di Kementerian Pelajaran menunjuk 'locus standi'. Biasalah budak STAR memang mempunyai watak yang berbagai-bagai. Penulis khuatir nanti sekolah pula yang teraniya sebab nak tunjuk ego masing-masing.
Penulis ingin mengucapkan terima kasih kepada Dato Hamzah Zainudin kerana beliau telah memulakan revolusi ini bermula daripada hari beliau membawa KPPM ketika itu Tan Sri Alimuddin ke STAR. Pada hari itu Dato Hamzah berada di STAR seawal jam 10 pagi. Bermesyuarat di rumah beliau bermula dari jam 5 petang dan berakhir pada jam 11 malam. Membuat panggilan talipon dan berbincang dengan pegawai Kementerian Pelajaran di Kuala Lumpur merangka bagaimana hendak merobah STAR sebelum STAR menjadi semakin parah dan terus rebah. Moto beliau adalah mengembalikan semula prestij STAR, prestij yang dimiliki oleh STAR ketika beliau bersekolah dahulu. Di kalangan old boys ramai yang tidak tahu apa yang Dato Hamzah telah lakukan kerana beliau bukan orang yang suka bercerita. Mulai hari itu STAR telah melalui tranformasi besar-besaran. Pentadbiran STAR telah diperkemaskan. Sesetengah pihak sukar untuk menerima tranformasi tersebut khususnya melibatkan ramai guru yang bertukar sekolah tetapi yang pahit itulah yang menjadi ubat dan penawar kepada penyakit. Penulis juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pegawai Kementerian Pelajaran kerana sudi mendengar dan bertindak untuk menjayakan transformasi STAR dengan berkesan.
Moga berita angin ini akan menjadi berita benar pada 17hb Februari ini. Kita mulakan dengan InsyaAllah dan kita akhirinya dengan Alhamdulliah.